Friday 27 March 2015

Sama Manusia

Kau lelaki,
aku perempuan.
Cukup sifat,
sama manusia.

Kenapa hendak merendahkan 
sesama sendiri sedangkan saling memerlukan?
Mengapa hendak berkata besar,
menunjukkan kekuatan diri,
sedangkan ilmu di dada itu cetek sekali?

Aku tidak kisah,
memang sejak azali diciptakan
kudrat kita memang berbeza.
Kau lagi teguh,
aku lagi rapuh.

Aku faham.

Tetapi,
aku bukan diciptakan
mengikut membuta tuli
segala telunjukmu,
yang angkuh
lagi sombong.

Bagai orang suruhan
yang mengiyakan segala diperkatakan,
mengikut apa saja diperintahkan.

Maaf,
kau salah.
Aku bukan begitu.

Sebaliknya,
aku tahu di mana
tempat ku berdiri,
bila aku harus
mempertahankan diri.

Daripada segelintir golongan kau,
yang tak pernah sudah,
memandang sipi terhadap diriku
yang lebih tahu.

Bukan nak menunjuk pandai,
apa yang lebih, aku kongsikan.
Apa yang ada, aku berikan.

Tidak pula kau,
hanya sekadar merahsiakan,
untuk diri sendiri.
Yang lain tidak dihiraukan.

Tiada sekelumit rasa
mahu menandingi kau,
untuk berada di atas,
membuat kau terkapai-kapai.

Tidak.

Tapi mahu kau lebih memahami,
boleh dibawa berbincang,
menurunkan ego kau yang tinggi
yang sudah lama
bersarang dalam diri.

Kerana kita
sama manusia,
kau dan aku
tiada beza.

28 Mac 2015, 12.03pm.

-dz-

No comments:

Post a Comment